Firefly perluas perkhidmatan di Sarawak
Ia sasar meliputi sepenuhnya laluan penerbangan di seluruh negeri ini menjelang 2011KUCHING: Syarikat penerbangan Firefly Sdn Bhd (Firefly) menyasarkan untuk meliputi sepenuhnya laluan penerbangan di seluruh negeri ini menjelang 2011.
Bakal memulakan operasi tiga minggu lagi, Firefly dijangka akan memperkenalkan perkhidmatannya ke Sibu, Miri dan Bintulu secara berperingkat pada tahun depan.
Pada 15 Januari depan, Firefly dijangka memulakan perkhidmatan penerbangan ke Sarawak dan Sabah iaitu dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuching dan Kota Kinabalu dua kali sehari.
Bermula 24 Januari pula, kemungkinan terdapat pilihan baru yang akan ditampilkan memandangkan syarikat bakal membuat penerbangan empat kali dan tiga kali sehari masing-masing ke Kuching dan Kota Kinabalu.
“Kami yakin Firefly memberi saingan di sini. Sejak kami mula membuka tempahan bagi laluan Kuching dan Kota Kinabalu, respons adalah amat memberangsangkan. Kesemua jualan laris dan kami menerima banyak pertanyaan.
“Miri dan Sibu menjadi sasaran seterusnya kerana laluan dipertimbangkan sebagai pasaran yang amat baik.
“Namun kami akan terus melakukan kajian dan penyelidikan pasaran sebelum kami memutuskan untuk membuat perancangan pada masa akan datang. Maklum balas orang ramai amat penting,” kata Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Raja Sa’adi Raja Amrin ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pejabat Tiket Lapangan Terbang (ATO) baru Firefly di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.
Beliau menjelaskan semasa Firefly memperkenalkan 50,000 tempat duduk dengan tambang RM9 sebagai promosi pengenalan terbaru laluan dari KLIA ke Kuching dan KLIA ke Kota Kinabalu baru-baru ini, kesemua jualan tiket laris dalam masa satu hari.
Bagi promosi terkini, Firefly menawarkan kadar tambang RM59 bagi penerbangan sehala untuk tempoh 5 Januari hingga 31 Mac 2011.
Jangka masa tempahan tamat pada 31 Disember 2010.
Selepas menjelajah di Sabah dan Sarawak, Raja Sa’adi memberitahu Firefly menyasarkan laluan ke destinasi terkenal dalam wilayah ASEAN yang menjadi pilihan kepada pelancong temasuk Bali, Bandung dan Jakarta dan beliau yakin Firefly dapat mencapai sasaran berkenaan.
Pada masa yang sama beliau memohon kepada orang ramai agar menyemak secara online Firefly dalam laman sesawang seperti rangkaian sosial Facebook.
Beliau berkata jualan tiket penerbangan secara online amat menggalakkan dan mencapai kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan jualan tiket.
“Laman sesawang seperti Facebook dapat memberikan lebih banyak maklumat lanjut kepada pelanggan,” katanya.
Firefly telah memulakan operasi pada 2007 dengan tujuh pesawat ATR 72-500 yang dijangka akan bertambah menjadi 10 pesawat kesemuanya pada 2011.
Kini ia melakukan penerbangan ke 19 bandar raya dan beroperasi di 24 laluan dalam Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.
Syarikat baru-baru ini mengumumkan membuka lembaran baru bagi perkembangan ini dengan memperkenalkan operasi kapal terbang jet bersama pesawat Boeing 737-800 yang akan beroperasi daripada terminal utama KLIA menjelang 2011.
Posted on December 22, 2010, Wednesday
Posted by Lawasian
on Khamis, Disember 23, 2010.
Filed under
Ekonomi,
Pilihan Editor,
Tourism
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.
You can leave a response or trackback to this entry
Tiada ulasan: