203 menara telekomunikasi dibina
Pembinaan 29 lagi pusat internet dan 63 perpustakaan komuniti lengkapkan projek wifi di Sarawak: Rais
LIMBANG: Sejumlah 203 menara telekomunikasi dirancang didirikan di seluruh negeri ini sebagai usaha kerajaan memperluaskan lagi projek wifi di Sarawak terutama di kawasan luar bandar, di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim memberitahu, projek wifi yang menelan kos RM306 juta itu yang meliputi pembinaan 203 menara turut merangkumi pembinaan 29 pusat internet dan teknologi maklumat (IT) dan 63 perpustakaan komuniti dilengkapi jalur lebar di seluruh Sarawak.
“Kementerian juga merancang untuk meningkatkan penetrasi internet di 600 buah kampung di bawah program jalur lebar wifi,” katanya sambil menambah kerajaan akan memantau projek itu dari masa ke semasa bagi memastikan objektif itu tercapai.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek komuniti 1Malaysia peringkat negeri Sarawak, Sahabat 1Malaysia dan pelancaran projek wifi Kampung Bunga Raya di Esplanade Jubilee Emas di Tebingan Limbang, semalam.
Rais memberitahu kerajaan persekutuan juga turut memperuntukan sebanyak 85,000 buah komputer riba untuk Sarawak di bawah program Pemberian Komputer Riba 1Malaysia dalam usaha merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 14,500 komputer riba 1Malaysia sudah disumbangkan dan selebihnya akan diberi dalam fasa seterusnya.
Sementara itu, Dr Rais berkata, kerajaan akan terus memajukan bahagian Limbang menerusi polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang saksama bagi memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat di peringkat akar umbi.
“Agenda utama kita menyediakan kemudahan komunikasi ini adalah bagi membolehkan rakyat dari Sabah hingga Pulau Pinang dapat berkomunikasi, bukannya seperti parti pembangkang yang tidak berbuat apa-apa kecuali cakap kosong dan mengelirukan rakyat,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melahirkan idea 1Malaysia bertujuan untuk menyatu-padukan rakyat dan bukannya membangkitkan isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd seperti dilakukan oleh pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen kelmarin.
“Kita mahu rakyat menghargai usaha dan kesungguhan kerajaan dengan menggunakan kebijaksanaan mereka dalam memilih siapa kaca dan permata. Saya percaya, ia bukan masalah bagi rakyat Sarawak untuk membezakan dua perkara ini,” katanya merujuk kepada kerajaan dan parti pembangkang di negeri ini.
Hadir sama isteri beliau Datin Seri Utama Masnah Yatim, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibolah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan ADUN Ba’ Kelalan, Nelson Balang Rining.
KOMPUTER RIBA 1MALAYSIA: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (kiri) menyampaikan komputer riba 1Malaysia kepada Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II yang juga ADUN Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) selepas merasmikan Kampung Wifi yang berlangsung serentak dengan Pelancaran Komuniti 1Malaysia dan Sahabat 1 Malaysia di Dataran Jubli Emas Limbang di Limbang, semalam. Turut hadir isteri Rais Datin Seri Maznah Rais dan Timbalannya Datuk Joseph Salang Gandum (kanan). Komputer itu diserahkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Limbang. — Gambar Bernama
by Sudan Ajang. Posted on December 20, 2010, Monday
Tiada ulasan: