Ubah mentaliti terhadap subsidi
BINTULU: Masyarakat luar bandar perlu mengubah mentaliti terhadap subsidi sebaliknya perlu lebih berdikari dan proaktif jika ingin maju.
Menteri Muda Majlis Daerah Luar Bandar, John Sikie Tayai berkata penduduk terutama di kawasan luar bandar pada hari ini tidak harus ada lagi mentaliti lama yang terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Dalam usaha untuk mencapai sasaran ekonomi berpendapatan tinggi, masyarakat hari ini perlu lebih berdikari,” ujarnya.
Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata menjelang tahun 2020, keseluruhan pendapatan penduduk di negeri ini dalam ekonomi berpendapatan tinggi adalah sekitar RM48,000 setahun iaitu kurang daripada RM4,000 sebulan.
“Berdasarkan pendapatan itulah mengapa penduduk perlu merubah mentaliti mereka menuju ke arah perspektif yang
lebih besar khususnya dalam pembangunan,” katanya semasa berucap merasmikan Info Bestari di Rumah Luvak, Kilometer 3 Jalan Tatau-Sangan di sini, semalam.
Program tersebut adalah anjuran bersama Komuniti Bestari Pekan Tatau dan Jabatan Penerangan Daerah Tatau.
Menurut Sikie lagi, masyarakat Iban adalah kumpulan etnik yang tekun dan tidak mustahil untuk mereka menjadi satu daripada generasi yang boleh berjaya.
Beliau merujuk kepada sumber asli seperti tanah yang boleh menjana pendapatan dengan memajukannya dalam pelbagai bidang pertanian dan apa yang lebih penting masyarakat perlu bersedia berubah sikap lama mereka.
Sikie turut menyeru pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk memberikan kerjasama penuh kepada agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei (JTS) yang melakukan kerja ukur keliling tanah mereka
supaya kerja-kerja tersebut berjalan lancar dan secara tidak langsung membantu memudahkan mereka membangunkan tanah berkenaan kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, Sikie turut menyeru agensi kerajaan untuk menyampaikan maklumat dengan lebih kerap di peringkat bawahan mengenai dasar-dasar kerajaan.
“Masyarakat khususnya di kawasan luar bandar perlu sentiasa diberikan maklumat terkini mengenai dasar-dasar terbaru yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Terdapat banyak projek yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang bernilai berbilion ringgit,” jelasnya.
Katanya, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ia membabitkan pelaksanaan projek penyediaan bekalan elektrik dan air untuk penduduk di rumah panjang yang belum menikmati kemudahan asas tersebut, tambahnya.
Posted on October 25, 2010, Monday
Tiada ulasan: