PBT perlu perkasa guna bahasa Melayu


Selaras hasrat kerajaan pastikan penggunaan secara lebih meluas di tempat awam

IPOH: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pihak termasuk sektor korporat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan supaya hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komersial, ekonomi, memupuk perpaduan serta digunakan secara meluas di tempat awam, tercapai.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga kini bahasa kebangsaan belum dilestarikan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu tinggi dan komunikasi, justeru usaha memasyarakatkan penggunaan bahasa itu mencakupi pelbagai bidang termasuk perundangan, perkhidmatan kewangan, sains dan teknologi mesti diperkasakan.
Selain usaha promosi penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, katanya, 146 PBT turut berperanan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

“Penggunaan bahasa kebangsaan oleh sektor korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dalam dokumen rasmi, papan tanda dan borang digunakan mesti diberi penegasan.

“Ini penting bagi memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,” katanya berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 peringkat kebangsaan bertemakan ‘1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara’ di Stadium Indera Mulia di sini, semalam.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan kepada Felo Penyelidik Akademi Pengajian Melayu dan Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar dan Hadiah Khas Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 kepada Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Dr Ding Choo Ming sebagai mengiktiraf serta menghargai sumbangan mereka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 kemudian melancarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) iaitu enjin carian yang dibina Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membolehkan pengguna mencari maklumat secara holistik merentasi semua pangkalan data DBP, laman DBP serta laman Bahasa dan Persuratan Melayu yang ditentukan DBP.

Muhyiddin berkata, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga menjadi pemangkin utama dalam mewujudkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau turut menggariskan dua keperluan utama untuk diberi perhatian bagi pembangunan bahasa kebangsaan pada era mendatang.

iaitu penegasan semula Dasar Bahasa Negara dan penyelesaian beberapa masalah pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Pada sidang medianya, Muhyiddin berkata beliau mendapati penggunaan bahasa kebangsaan pada acara antarabangsa di negara ini yang dihadiri tetamu asing boleh dipraktikkan, malah beliau sendiri sebelum ini berbuat demikian pada majlis yang dihadiri tetamu warga Korea.

"Ini satu pendekatan baik...walaupun kita boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, apa salahnya jika bertutur dalam bahasa kebangsaan dan kemudian diterjemahkan," katanya.



Gambar: MUHYIDDIN diiringi Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz (kanan) meneliti manuskrip lama ketika melawat pameran selepas menyempurnakan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 di Stadium Indera Mulia di Ipoh semalam.


Oleh Jalal Ali Abbdul Rahim dan Nurhayati Abblah
bhnews@bharian.com.my
2010/10/06

Posted by Lawasian on Rabu, Oktober 06, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: