Konvensyen Silat Sarawak akan tampil generasi baru

KUCHING: Konvensyen Silat Sarawak Keempat akan dijangka menampilkan generasi baru dalam bidang persilatan, kata Setiausaha Agung Rumpun Silat Sarawak (RSS), Muhd Haneef.

Menurut beliau, konvensyen tahunan tersebut kali ini telah menjemput seramai 400 guru silat dan tokoh-tokoh utama setiap aliran daripada 12 wilayah.

“Generasi muda amat penting bagi melahirkan buah fikiran kepada kita sebagai penggerak silat sekali gus membangunkan seni persilatan di tanah air,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata kebanyakan guru silat sebelum ini telah bersara, meninggal dunia atau sudah melebihi umur 60 dan generasi pelapis akan mengambil alih tempat mereka untuk menghadiri konvensyen tersebut.

Konvensyen tersebut, katanya, bertujuan untuk memartabatkan seni persilatan serta mengukuhkan silaturahim di kalangan guru- guru silat di Sarawak.

“Satu seminar akan diadakan pada konvensyen tersebut di mana semua peserta akan dimaklumkan tentang aktiviti semasa dan pembangunan silat di tanah air,” ujarnya.

Konvensyen tiga hari dari 9 hingga 11 Oktober itu akan diserikan lagi dengan persembahan khas daripada guru-guru RSS pada 9 Oktober, manakala persembahan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi akan menyusuli malam perasmian itu.

Kemuncak persembahan akan menyaksikan persembahan guru-guru silat dari Kalimantan Barat dan Jawa di mana aksi-aksi silat dan tarian bersama pertunjukan silat batin.

Upacara perasmian dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Tempat persembahan adalah di Stadium Perpaduan, jam 7 malam dan masuk adalah percuma.

Posted on October 8, 2010, Friday

Posted by Lawasian on Jumaat, Oktober 08, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: