Sarawak maju sejak 47 tahun


Hari Malaysia yang disambut esok amat bermakna sekali kepada rakyat negeri ini: Taib

Dalam menyambut perayaan Hari Malaysia dengan suasana aman dan harmoni,rakyat, khasnya mereka yang lahir sebelum 1963, dapat menyaksikan betapa negeri Sarawak telah pesat berkembang maju dalam pelbagai bidang, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini amat bermakna dan signifikan sekali kepada rakyat negeri ini kerana pada tarikh keramat itu pada 47 tahun lepas, Sarawak, Sabah, Tanah Melayu dan Singapura bergabung untuk menubuhkan Malaysia.

Namun Singapura kemudiannya menarik diri untuk menjadi sebuah republik pada 1965. “Oleh itu, kita sebagai rakyat Sarawak dan bangsa Malaysia yang cintakan tanah air ini harus terus bersama-sama gigih serta komited dalam membangun, membina dan melestarikan kemakmuran negara ini,” katanya dalam perutusan buku cenderamata sempena perayaan Hari Malaysia peringkat negeri yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini pada Khamis ini.

Pada tahun lepas Sarawak telah diberikan penghormatan menjadi hos sambutan perayaan tersebut pada peringkat kebangsaan, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya rakyat perlu mempunyai tekad yang komited supaya hasrat dan cita-cita murni pemimpin untuk melihat negara ini maju menjelang tahun 2020 akan tercapai.

“Perjuangan kita adalah untuk kebajikan dan aspirasi semua rakyat dan oleh itu kita harus sentiasa berkorban tanpa menghiraukan risikonya,” kata Taib sambil mengingatkan bahawa politik pembangunan di Sarawak dalam fasa seterusnya adalah untuk semua kaum.

Beliau berkata hanya sebuah kerajaan yang kukuh, berwawasan, efisien dan berkesan akan dapat memastikan sesebuah negeri dan negara itu terus bergerak maju. — Bernama

September 15, 2010, Wednesday

Posted by Lawasian on Rabu, September 15, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: