Hapuskan Islamophobia – PM
NEW YORK 25 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerjasama Amerika Syarikat (AS) amat perlu bagi mengurangkan salah faham dan pandangan negatif terhadap Islam sehingga memperlihatkan peningkatan fenomena Islamophobia termasuk di kalangan rakyat kuasa besar ini.
Pengetahuan masyarakat AS mengenai Islam adalah rendah dan usaha mempertingkatkan kefahaman mengenainya perlu dilakukan, kata Perdana Menteri sambil merujuk kepada kajian majalah Time baru-baru ini misalnya menunjukkan 26 peratus rakyat AS berfikiran presiden mereka adalah penganut Islam.
‘‘Pengetahuan asas tentang perkara seperti ini (Islam) adalah rendah; jadi kefahaman tentang Islam perlu dipertingkatkan,” katanya kepada wartawan Malaysia di hotel penginapannya hari ini.
Malaysia, katanya, boleh menyumbang dari segi pelaksanaan kefahaman kepada masyarakat AS dengan menekankan ajaran Islam membawa nilai-nilai sejagat dan selari dengan konsep pemodenan serta progresif, selain menjamin hak bukan sahaja orang Islam tetapi juga hak bukan Islam.
Perkara tersebut merupakan antara aspek yang ditekankan oleh Perdana Menteri ketika diminta khusus oleh Presiden Barack Obama supaya menyampaikan ucapan pencelahan pada Mesyuarat Pemimpin-pemimpin ASEAN-AS di sini, semasa menyampaikan ucapan pencelahan pada pertemuan kedua selepas mesyuarat ASEAN-AS di Singapura tahun lepas.
Mesyuarat kali ini adalah mesyuarat pertama di bumi AS; ketika para pemimpin dunia berkampung di sini bagi menghadiri Perhimpunan Agung ke-65 PBB. Kesemua pemimpin kerajaan ASEAN hadir pada pertemuan yang turut memberi tumpuan kepada kerjasama perdagangan dan ekonomi, kecuali Myanmar diwakili oleh Menteri Luar dan Indonesia oleh wakil presiden.
Perdana Menteri seterusnya menyatakan penghargaan Malaysia kepada Obama atas pendirian tegasnya berkaitan cadangan seorang paderi di Florida yang mahu membakar al-Quran, yang akhirnya membawa kepada pembatalan hasrat tersebut.
Ketika menangani isu itu, Obama berpandangan bahawa cadangan paderi terbabit hanya akan menguntungkan al-Qaeda serta mendedahkan tentera AS di Iraq dan Afghanistan kepada bahaya.
Najib bagaimanapun menyatakan semua pihak tidak perlu berasa tertekan dengan kumpulan-kumpulan ekstrem di AS kerana ia adalah kecil dan tidak menggambarkan pendirian seluruh rakyat Amerika.
‘‘Kita tidak seharusnya berasa tertekan oleh kumpulan-kumpulan ekstrem yang bersuara lantang seolah-olah menggambarkan ia pandangan seluruh rakyat Amerika. Mereka hanya kumpulan kecil.”
Peningkatan Islamophobia cuba disemarakkan lagi ekoran usaha membina sebuah pusat Islam berdekatan Ground Zero, tapak bekas bangunan Pusat Dagangan Dunia di sini yang ranap dalam tragedi serangan pengganas pada 11 September 2001.
Aspek-aspek lain yang turut disentuh oleh Najib dalam ucapannya itu ialah:-
Amerika perlu memainkan peranan menerusi bidang yang ia mempunyai kekuatan termasuk pendidikan; sains dan teknologi; keselamatan; langkah menangani keganasan dan maritim.
Dalam bidang pendidikan misalnya, kata Najib, Obama nampaknya memberi respons positif terhadap cadangan supaya Kor Sukarelawan AS yang popular di kalangan masyarakat dunia dalam 60-an dihidupkan kembali di rantau Asia Tenggara tetapi dalam konteks pengajaran bahasa Inggeris.
‘‘Idea itu nampaknya mendapat perhatian Obama yang mempunyai pengalaman peribadi dalam hal itu kerana ibunya pernah mengajar bahasa Inggeris di Jakarta,” kata Najib.
Mengulangi pendirian Malaysia dalam membantu usaha ke arah penghapusan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran.
Menyokong proses perdamaian jangka panjang Palestin-Israel berdasarkan penyelesaian kaedah dua negara. Malaysia dan seluruh dunia mengharapkan konflik di Asia Barat akan berakhir.
Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat kali ini membuat keputusan menerima AS dan Rusia sebagai rakan dialog ASEAN dan kedua-dua negara akan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur tahun depan. – MINGGUAN
Tiada ulasan: