Pesanan kepada pemimpin akar umbi
LIMBANG: Setiap pemimpin di peringkat akar umbi di daerah ini diingatkan supaya sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, khasnya isu-isu semasa bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, mereka juga perlu melakukan perubahan total dalam cara mendekati rakyat yang kini sudah jauh berbeza daripada profil masyarakat sebelum ini.
“Penting bagi pemimpin-pemimpin tempatan untuk menjalani latihan secara berterusan dan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, perkara-perkara dan isu semasa supaya mereka tahu bagaimana untuk berhadapan dengan masalah dan memberi penerangan yang betul,” katanya pada majlis penyam-paian cek ‘Outgrant’ kepada 130 penerima melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pengerusi surau di daerah ini.
Turut hadir ialah Timbalan Wali Kota Limbang, Waslee Tuah, pengurus Tabung Haji Limbang Safri Lamat dan kenamaan lain.
Beliau berkata, sebagai pemimpin, mereka perlu bijak menapis segala maklumat dan isu semasa yang berlaku bagi mengelak maklumat berkenaan diputarbelitkan oleh pihak berkepentingan.
“Kita perlu menilai segala maklumat yang ada berdasarkan fakta sebenar dan bukan isu yang dipesongkan dan menjadi sasaran fitnah dan putar belit pihak tidak bertanggungjawab yang gemar mengeruhkan keadaan,” katanya.
Beliau memberitahu, pemimpin yang bijak adalah mereka yang tahu membezakan maklumat yang betul dan maklumat yang ditokok tambah.
“Kita jangan mudah terikut-ikut dengan segala tuduhan dan isu semasa yang disampaikan. Sebaliknya ia perlu dinilai dengan bijak dengan ilmu pengetahuan yang kita ada,” jelasnya.
Hasbi berkata, dengan menjadi manusia yang bermak-lumat ia akan memudahkan para pemimpin untuk terus melipatgandakan usaha di lapangan, sekali gus memainkan peranan lebih aktif melalui pelbagai aktiviti atau program pembangunan di kawasan mereka.
Dalam pada itu, beliau mahu golongan ibu bapa terus memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak mereka dalam melahirkan modal insan berguna dan berilmu untuk generasi akan datang.
Katanya, kerajaan turut memberi fokus dan tumpuan untuk membangunkan sistem pendidikan di negara ini bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan tinggi.
Jelasnya, ia termasuk melihat sistem dan kaedah pendidikan yang digunapakai di negara Korea untuk diaplikasi di negara ini bagi membangunkan mutu dan tahap pendidikan agar setanding dengan negara maju.
Penting untuk pemimpin akar umbi tingkatkan pengetahuan, kata Hasbi/ August 11, 2010, Wednesday

Tiada ulasan: