Puteri Umno selar campur tangan asing

Al Gore dan Wolfowitz dikatakan mendesak AS campur tangan dalam kes liwat Anwar

Pergerakan Puteri Umno menyelar tindakan manamana pihak terutamanya dari negara luar yang cuba mencampuri proses perundangan negara semata- mata untuk menjaga kepentingan peribadi seseorang dan menidakkan keadilan untuk satu pihak yang lain.

Naib Ketuanya Shahanim Mohamad Yusoff berkata sebarang usaha untuk meminta campur tangan asing terhadap undang-undang negara juga merupakan satu tindakan yang tidak boleh diterima dan ia jelas mencabul kedaulatan sesebuah negara.

“Tindakan bekas naib presiden Amerika Syarikat, Al Gore dan bekas presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang mendesak kerajaan Amerika untuk campur tangan dalam kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu tindakan yang biadap,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Al Gore dan Wolfowitz dalam akhbar Asian Wall Street Journal baru-baru ini, mahu kerajaan Amerika Syarikat campur tangan dalam kes liwat Anwar yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Shahanim berkata pergerakan itu turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak tunduk terhadap campur tangan mana-mana pihak.

Muhyiddin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk terhadap campur tangan dan desakan mana-mana pihak atau negara luar berhubung kes liwat membabitkan Anwar.

Beliau turut menyifatkan gesaan itu sebagai satu tindakan sia-sia serta menunjukkan Anwar seorang yang terdesak sehingga menggunakan ‘talian hayat’ dan sentiasa bersubahat dengan rakan-rakan luarnya demi kepentingannya. — Bernama



August 10, 2010, Tuesday

Posted by Lawasian on Selasa, Ogos 10, 2010. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: