Pampasan atau sekatan
Projek mega pemasangan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SPGSS) yang merentasi kawasan Ba’ Kelalan di utara Sarawak tergendala apabila penduduk di situ melakukan sekatan bagi menuntut pampasan tanah.
Kita difahamkan, penduduk Lun Bawang dari sekitar Kampung Long Sukang melakukan sekatan di hadapan laluan paip gas yang merentasi kawasan kampung mereka sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan, Nelson Balang Rining ketika dihubungi, mengesahkan penduduk kampung melakukan sekatan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kontraktor memasag paip di kawasan tanah mereka tanpa membayar pampasan yang sepatutnya.
“Ini perkara kecil membabitkan subkontraktor dan penduduk kampung. Setakat ini saya dimaklumkan isu itu akan diselesaikan dalam masa terdekat" Sebagai wakil rakyat untuk kawasan Ba’ Kelalan beliau mahu perkara itu diselesaikan dengan baik iaitu situasi menang-menang untuk penduduk kampung dan pihak kontraktor.
Pada masa yang sama beliau menasihatkan penduduk Lun Bawang di Ba’ Kelalan tidak mengambil tindakan di luar undang-undang kerana perkara berhubung tuntutan pampasan itu boleh diselesaikan dengan baik.
“Selain itu kontraktor terbabit perlu mengambil kira kepentingan penduduk tempatan. Saya berharap pihak berkenaan menyelesaikan perkara ini demi manfaat kedua-dua pihak,” katanya lagi.
Sementara itu, projek mega tersebut melibatkan pemasangan saluran paip gas asli dari terminal minyak dan gas Sabah di Kimanis ke kompleks Cecair Gas Asli (LNG) Petronas di Bintulu. Projek yang bernilai RM390 juta itu membabitkan laluan sepanjang 500 kilometer dengan jarak 410 kilometer adalah merentasi Sarawak dan di- jadualkan siap tahun 2011.
August 11, 2010, Wednesday


Tiada ulasan: