Gagasan 1Malaysia

Salam sejahtera awal bicara, atau sekarang lebih popular dengan salam 1Malaysia...hakikatnya konsep atau gagasan ini amat baik dan wajar diterima oleh semua tetapi apakah semua orang memahaminya atau sekadar melancarkannya ditepi bibir.

Al-kisah yang wajar dijadikan panduan untuk lebih memudahkan kita memahami gagasan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Patinggi Mohd. Najib iaitu jika kita kira samalah seperti slogan yang dilaungkan di Indonesia iaitu Satu Bangsa Indonesia.

Oleh itu semua rakyat di negara itu harus menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi dengan mengakui setulus hati bahawa bumi Garuda itu tanah tumpah mereka sehingga nama Wong atau Chong amat-amat kurang didengari.

Malahan aliran persekolahan juga semuanya di selaras dengan satu sistem pendidikan sahaja yang menuturkan satu bahasa dan satu tulisan.

Sejajar dengan itu maka pengertian yang sewajarnya kita semua fahami tentang gagasan 1Malaysia ialah kita tidak memerlukan lagi sekolah jenis kebangsaan atau lain-lain aliran sekolah yang lebih mengutamakan bahasa ibunda sesuatu kaum itu kerana kita semua bangsa Malaysia.

Sehubungan itu adakah gagasan ini sanggup diterima oleh rakan kita daripada kaum Cina dan India yang sememangnya masih lagi berpegang teguh kepada nilai-nilai budaya dan bahasa mereka.

Kalau dalam konteks di daerah kecil Lawas ini masih ramai lagi yang belum fasih berbahasa Melayu termasuk yang disekolah rendah maka apakah kita benar-benar menerima 1Malaysia sebagai identiti bangsa baru Malaysia.

Sanggupkan Ah Chong, Wong maupun Ramasami mengadaikan sesuatu yang mereka perjuangkan melalui parti-parti politik yang mewakili mereka seperti MCA atau MIC bahkan PBDS di negeri Kenyalang ini??

Penghayatan kepada konsep 1Malaysia masih memerlukan penjelasan lebih mendalam dan bukannya sekadar membicarakan soal luaran sahaja sebaliknya isinya juga perlu difahami semua agar konsep yang baik ini tidak 'memakan tuan'.

Rakyat Sarawak harus bersyukur kerana kepimpinan di negeri ini terutamanya daripada Parti PBB masih lagi berjaya mengekang sebarang masalah kaum di negeri ini walaupun kita adalah antara negeri yang mempunyai pecahan kaum ethnik terbesar selain Sabah.

Tinta 'tetikus' ini hanya akan membicarakan sesuatu untuk kita renung dan juga wajar kepada agensi kerajaan bertanggungjawab membuat penjelasan sebaik mungkin agar tidak merobek dinding permuafakatan yang ada di Sarawak sehingga terdirinya benteng syak wasangka antara kita yang berkongsi tanahair tercinta ini.

Renung...renungkanlah

Posted by Lawasian on Selasa, Ogos 10, 2010. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: