Majlis Daerah Limbang serius tangani isu sampah: Sufian
LIMBANG: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini memandang serius sebarang aduan yang diterima daripada masyarakat di daerah ini, setiap hari berhubung masalah sampah.
Wali kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Sufian Mohat berkata sebarang aduan yang diterima baik secara lisan, bertulis ataupun melalui telefon tidak akan dipandang ringan kerana ia melibatkan imej bandar Limbang bagi memastikan kebersihan dapat dikekalkan.
Jelasnya lagi, pihaknya turut mengenakan amaran terhadap kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan menyelenggara kutipan sampah sebagaimana yang termaktub dalam tender pihak Majlis.
“Kita memang menerima hampir setiap hari aduan sampah daripada penduduk di sini. Sebarang aduan tidak akan dipandang ringan termasuk merekodkan aduan berkenaan untuk tindakan pihak kita,” jelasnya ketika ditemui Utusan Borneo di sini.
Sufian menjelaskan lagi pihak kontraktor juga sering diingatkan agar jangan mementingkan aspek keuntungan semata-mata tetapi menekankan kualiti dan mutu perkhidmatan dalam pengurusan sampah yang lebih sistematik.
“Dalam sesi perjumpaan dengan kontraktor kita sudah mengingatkan mereka agar sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memastikan kebersihan di bandar ini terus dikekalkan,” jelasnya lagi.
Sufian berkata, dalam pada itu tetap timbul pelbagai kekangan yang dihadapi pihaknya termasuk kekurangan kemudahan tong sampah dan masalah kewangan untuk menguruskan kutipan sampah.
“Masalah dan kesuntukan kewangan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pihak kontraktor untuk mereka meneruskan perkhidmatan mengutip sampah di kawasan yang dikenal pasti.
“Selain itu kurangnya kerjasama daripada penduduk dan masyarakat di sini juga menimbulkan kesulitan kepada kita kerana kebanyakan mereka tidak membuang sampah di kawasan yang ditetapkan,” ujarnya.
Justeru beliau mahu orang ramai juga memainkan peranan dengan mengamalkan budaya membuang sampah yang lebih teratur termasuk di dalam tong sampah yang disediakan.
Dalam pada itu Sufian memberitahu pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan dan kompaun terhadap mereka yang masih berdegil dengan menjadikan premis perniagaan mereka menjadi kawasan pembuangan sampah.
“Kita sudah mengenal pasti kawasan yang agak kotor termasuk di belakang bangunan Bangkita di sini.
“Tindakan tegas dan kompaun akan dikenakan jika mereka berdegil dengan menjadikan kawasan perniagaan kotor dan menimbulkan imej memalukan kepada pengunjung luar,” jelasnya.
September 13, 2010, Monday
Tiada ulasan: