Dua kedai runcit dikesan jual 10 jenis barang luput tarikh
Jabatan Kesihatan Bahagian Bintulu mengesan dua kedai runcit di Pasar Utama Bintulu yang menjual 10 jenis barang telah luput tarikh yang bernilai RM107.40 semalam.Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Unit Penguatkuasaan Keselamatan Kualiti Makanan Perezs@ Luhat Ibo berkata, barangbarang tersebut telah diambil selepas mendapat persetujuan daripada peruncit terbabit untuk disimpan di pejabat Jabatan Kesihatan Bahagian Bintulu selama 14 hari.
“Sekiranya barang tersebut tidak dituntut selepas tempoh itu, ia akan dilupuskan,” ujarnya kepada pemberita selepas berakhirnya operasi bersepadu bersama pegawai- pegawai daripada empat agensi penguatkuasaan lain di Pasar Utama Bintulu semalam.
Katanya, pemeriksaan pihaknya turut mengingatkan peruncit dan peniaga agar meletakkan barang makanan 45 sentimeter dari lantai dan tidak meletakkannya di atas lantai supaya tidak tercemar dan kotor.
Perezs berkata, pihaknya turut mengadakan pemeriksaan mengenai barang makanan yang dijual tidak mempunyai label di samping menekankan pemeriksaan ke atas aspek kebersihan di kedai-kedai makan.
“Antara yang dikesan adalah ada kedai makan yang kurang memuaskan iaitu peniaga kedai makan yang tidak memakai apron, memakai cincin, tidak memakai topi, kekotoran pada bahagian peralatan menyedut asap dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya telah menasihati peniaga terbabit supaya menjaga kebersihan, meletakkan label pada barang makanan yang dijual serta mengingatkan mereka supaya mematuhi Akta Makanan 1983 yang mana tindakan menyalahi peraturan itu boleh menyebabkan kedai peniaga ditutup selama 14 hari bagi tujuan pembersihan.
Selain itu, beliau turut menasihati pengusaha dan pengendali makanan agar mengikuti Kursus Pengendalian Makanan supaya mereka dapat memperolehi maklumat lebih mendalam berkaitan pengendalian makanan dan aspek kebersihan.
August 7, 2010, Saturday
Tiada ulasan: