Tambang Kapalterbang hanya RM118
MASwings tawar tambang istimewa untuk pesakit dari Limbang mendapat rawatan di Hospital Miri. Syarikat Malaysia Airlines (MAS) hanya akan mengenakan tambang RM118 untuk perjalanan sehala Limbang ke Miri bagi pesakit dari Limbang yang pergi ke Miri untuk mendapatkan rawatan perubatan.Pix: Hasbi ketika mengadakan mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan kerajaan di bilik mesyuarat Hospital Limbang semalam.
Kadar tambang RM118 itu ditawarkan kepada seorang pesakit dan pengiringnya, dengan menaiki penerbangan MASwings.
Kadar tambang itu telah ditetapkan oleh kerajaan di bawah tambang pesakit miskin luar bandar, kata Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibolah.
Menurut Hasbi, pemgumuman mengenai kelulusan kadar tambang dibuat oleh kerajaan pada 8 Mac lalu menerusi Kementerian Pengangkutan, yang berkuat kuasa pada awal bulan ini bagi meringankan beban para pesakit, khususnya di daerah ini yang perlu dirujuk ke hospital Miri.
Jelasnya, kadar tambang sebanyak RM118 itu meliputi tambang bagi perjalanan sehala melibatkan pesakit dan pengiringnya yang terpaksa ke Miri untuk mendapatkan rawatan.
“Kerajaan menetapkan bayaran sebanyak RM50 dan RM9 sebagai caj perkhidmatan kapal terbang bagi seorang pesakit dan seorang pengiringnya yang terpaksa dirujuk ke Hospital Miri melalui penerbangan MASwings.
“Mereka perlu membeli tiket melalui syarikat Malaysia Airlines (MAS) dengan hanya mengemukakan surat sokongan daripada pihak hospital sebelum mendapatkan tambang tersebut,” katanya pada sidang media di hospital daerah di sini, semalam.
Menurut Hasbi lagi, kadar tambang berkenaan ditetapkan untuk pesakit yang perlu dirujuk di Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau menasihati para pesakit agar terus menghubungi pihak MAS dan tidak melalui ejan syarikat penerbangan MAS bagi mengelak mereka dikenakan caj perkhidmatan lain.
Sementara itu, Hasbi berkata, kerajaan turut menyediakan kemudahan van membawa jenazah, khususnya untuk membawa pulang jenazah dari Hospital Miri ke Limbang.
“Sebelum ini penduduk terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membawa balik jenazah dari Hospital Miri untuk dikebumikan di Limbang.
“Jawatankuasa penyelarasan van membawa jenazah juga sudah dibentuk untuk mencari kaedah dan mekanisme terbaik berhubung cara penggunaan kenderaan tersebut,”katanya.
Beliau berharap jawatankuasa tersebut dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab lebih efektif termasuk mengenal pasti cara dan kaedah penghantaran jenazah, termasuk berkaitan dokumen perjalanan melalui negara Brunei.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Hospital Limbang, Dr Norliza Jusoh, manakala timbalan pengerusinya ialah Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian, Aziah Saruji.
Ahli Jawatankuasa tertingginya termasuk Timbalan Residen (Sosial), Jabatan Imigresen, Kastam, Polis Diraja Diraja Malaysia (PDRM), ketua masyarakat dan agensi-agensi lain.
by Mastura Ismail
June 19, 2010, Saturday
Tiada ulasan: