Dasar pintu terbuka diamalkan

KETIBAAN: Paulus (kiri) menyambut ketibaan Tun Salahuddin ke Batu Danau semalam bagi memeriahkan lagi sambutan Adau Gayo Babulang.
LIMBANG: Sarawak akan terus mengamalkan dasar pintu terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Brunei dan Sabah bagi membangunkan sektor pelancongan berkonsepkan budaya, pengembaraan dan alam semula jadi (CAN).

Sarawak adakan rundingan dengan Brunei, Sabah majukan pelancongan CAN

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata rundingan berterusan itu penting bagi memikirkan dan mencari kaedah terbaik untuk membangunkan sektor pelancongan yang memberi manfaat kepada kawasan terlibat.

“Oleh sebab itu kita sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka untuk berunding dengan Brunei dan negeri jiran Sabah bagi memikirkan cara terbaik membangunkan produk pelancongan domestik yang berkonsepkan CAN.

“Perkongsian idea ini akan memberi manfaat kepada kawasan yang terlibat untuk mempromosikan dan menampilkan keunikan produk pelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan,” katanya berucap merasmikan Adau Gayo Babulang dan Lumba Kerbau di Batu Danau di sini petang semalam.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Muda Kemudahan Awam Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Peter Nansian Nguise, Menteri Muda Kemudahan Awam Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Presiden Persatuan Bisaya Negeri Antonio Kahti Galis, Residen Limbang Maria Hasman dan kenamaan lain.

Awang Tengah menambah, kerajaan juga akan terus menekankan sektor pelancongan berteraskan CAN melalui rangkaian kerjasama dengan kawasan berkenaan untuk menarik ramai kemasukan pengunjung dan pelancong asing.

Jelasnya Sarawak turut mempunyai pelbagai keistimewaan dan keunikan budaya, adat resam dan alam semula jadi untuk dipromosikan kepada pelancong luar.

“Unsur-unsur budaya yang ada di kalangan masyarakat adalah asas kekuatan yang kita miliki.

“Justeru kerajaan amat menekankan aspek dan bidang berkenaan untuk dimajukan, diterokai dan dibangunkan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan sudah meluluskan peruntukan lebih setengah juta ringgit bagi mendirikanPusat Kebudayaan Bisaya (PKB) untuk memudahkan mereka menjalankan aktiviti kebudayaan termasuk lumba kerbau.

“Sejumlah RM750,000 sudah diluluskan kerajaan negeri bagi melaksana PKB termasuk membina kemudahan yang lebih selesa dan sempurna kepada mereka yang menjalankan aktiviti berkaitan kebudayaan,” jelasnya.

Katanya selain sektor pelancongan, kerajaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur di bawah Bidang Kerberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Melalui NKRA, kita sedang berusaha meluaskan rangkaian perhubungan jalan raya, pelaksanaan kemudahan elektrik dan bekalan air bersih serta projek lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Ada yang sudah diluluskan untuk dimulakan tahun ini dan sesetengah projek akan dilaksanakan tahun depan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pembangunan Limbang, beliau memberitahu bahawa projek hidro turut mendatangkan manfaat kepada rakyat apabila aktiviti pertanian komersial akan menjadikan Limbang sebagai Jelapang Padi yang dikenal pasti di negara ini.

“Kita yakin dengan adanya empangan hidro nanti, ia bukan sahaja membekalkan sumber tenaga tetapi turut membekalkan sumber air untuk aktiviti pertanian,” katanya.


by Mastura Ismail
June 6, 2010, Sunday

Posted by Lawasian on Isnin, Jun 07, 2010. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: