Lahir generasi revolusi ICT
Pelajar perlu kuasai BI, Sains dan Matematik: Awg Tengah
MIRI: Penguasaan pelajar khasnya di luar bandar dalam subjek Bahasa Inggeris (BI), Sains dan Matematik yang masih rendah perlu diperkasakan untuk melahirkan generasi revolusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tahap penguasaan pelajar negeri ini dalam tiga subjek itu memerlukan tumpuan khusus khasnya di kalangan warga pendidik sekolah rendah yang memberi pendidikan asas kepada pelajar.
Beliau memberitahu, penguasaan BI pelajar negeri ini juga masih belum dapat dibanggakan sepenuhnya melihat kepada kepentingan BI sebagai bahasa global dalam kehidupan moden sekarang.
“Kita kagum dengan usaha Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar kita. Tetapi penguasaan BI masih lemah terutamanya di kalangan pelajar di luar bandar,” ujarnya.
“Kita bukan lagi berada dalam revolusi industri tetapi dalam revolusi ICT yang meminta kita untuk menguasai ilmu sains dan teknologi.
“Tetapi analisis keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di Sarawak tahun lalu menunjukkan bahawa pelajar kita masih lemah dalam BI, Matematik dan Sains,” katanya semasa merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-43 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak di sini, pagi semalam.
Awang Tengah berkata, masyarakat sekarang khasnya di luar bandar memandang tinggi profesion perguruan yang dilihat sebagai individu berintelek tinggi, peka kepada isu semasa dan pusat rujukan.
Dengan itu, katanya, guru perlu berusaha memperbaiki kebolehan dan kemahiran mereka dengan memper-kayakan diri dengan ilmu-ilmu ICT sebagai persediaan berdepan cabaran-cabaran baru dunia pendidikan.
“Walaupun anda (guru) telah mempunyai ijazah ataupun diploma, ia bukan jalan penamat untuk anda mem-perkayakan diri dengan ilmu kerana ia adalah usaha ber-terusan,” jelasnya.
“Tugas anda adalah untuk membentuk pelajar yang berperibadi tingi dan berke-terampilan selain membantu membentuk masyarakat yang menghargai perpaduan. Ini boleh dibentuk di kalangan pelajar kita bermula di sekolah rendah.”
Sebagai guru terlatih, mereka juga bertanggungjawab merealisasikan impian kerajaan melahirkan sumber tenaga mahir kerana jangkaan masyarakat terhadap kerjaya mereka semakin bertam-bah.
Katanya, dengan membantu menambah penguasaan rakyat dalam ilmu dan kemahiran akan menjana pendapatan rakyat sekali gus menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Profesion guru bukan untuk mereka yang lemah semangat, mudah mengalah dan tidak sanggup berkorban. Justeru, saya menyeru anda (guru) menerima cabaran dan sanggup berkorban demi memartabatkan pendidikan anak bangsa, terutamanya kepada anak-anak yang berada di luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya.
by Steve Annuar
April 30, 2010, Friday
Tiada ulasan: