'Sangkal Melayu bolot segalanya'
DR. Mahathir Mohamad bersama Ibrahim Ali dan barisan kepimpinan Perkasa melaungkan 'Hidup Melayu' semasa majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali pertama pertubuhan itu di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam .KUALA LUMPUR 27 Mac - Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya satu bancian komprehensif dibuat bagi mendapatkan kebenaran berhubung pelbagai tuduhan kononnya orang Melayu membolot segala-galanya.
Beliau yang merupakan bekas Perdana Menteri berkata, bancian berkenaan amat diperlukan kerana sudah terlalu banyak tuduhan tanpa fakta dan hanya bersandarkan tanggapan dibuat pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, bancian itu lebih sesuai dilakukan oleh pihak yang bebas manakala fokus kajian itu perlulah mencakupi sektor swasta dan perkhidmatan awam.
"Ada banyak desakan yang bukan-bukan, kononnya semua biasiswa diberikan kepada bumiputera, semua ini betulkah? Kita kena tahulah (fakta), cakap sahaja tak boleh.
"Ini negara berbilang bangsa, kita perlu berkongsi dan hidup bersama-sama, tetapi jika kita mula menuduh satu sama lain tanpa fakta, ia akan menyebabkan ketidakstabilan yang akhirnya menjejaskan semua orang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang pertama, di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Mahathir turut melahirkan kebimbangan dengan situasi politik semasa kerana dalam tempoh kira-kira enam tahun kebelakangan ini negara tidak menunjukkan pertumbuhan.
Katanya, keadaan diburukkan lagi dengan kejadian tuding menuding di kalangan rakyat berbilang kaum.
Katanya, ia bertentangan dengan amalan sebelum ini apabila isu-isu sensitif membabitkan kaum dibincang secara tertutup, bukannya secara terbuka sehingga menggoncang emosi.
"Sebelum ini tiada tuduhan sebegini, rakyat semuanya gembira kerana kerajaan melakukan yang termampu walaupun ia tidak semestinya sempurna.
"Jika rakyat tidak gembira, mereka akan menimbulkan pelbagai masalah, sebelum ini tiada pertanyaan siapa yang dapat apa, berapa banyak dan sebagainya," katanya.
Dr. Mahathir berkata, sewaktu beliau berundur satu ketika dahulu, kerajaan di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dilihat sebagai lebih liberal bagi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kebebasan untuk membincangkan isu sensitif.
Perkara itu katanya, menyebabkan hubungan antara kaum menjadi lebih teruk berbanding sewaktu pemerintahannya.
"Persoalannya adakah rakyat mahukan kebebasan dengan tujuan sekadar untuk berbincang atau mereka mahukan kestabilan dan pertumbuhan negara.
"Ada negara yang tidak dapat berkembang kerana mereka mengamalkan dasar liberal sehingga tidak mengecapi kestabilan," katanya.
Tiada ulasan: