Loji atasi kekurangan bekalan air
Loji Rawatan Air Wilayah di Trusan mampu membekal 20 MLD untuk fasa pertama, keseluruhannya 30 MLD setelah kerja pembesaran dilakukanLAWAS: Projek pembinaan Loji Rawatan Air Wilayah di Trusan dijangka mampu mengatasi masalah kekurangan bekalan air di daerah ini apabila kerja pemasangan paip siap sepenuhnya nanti, kata Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.Beliau berkata pada masa ini loji berkenaan mampu membekalkan 20 juta liter air sehari (MLD) untuk fasa pertama dan keseluruhannya boleh membekalkan 30 MLD setelah kerja pembesaran dilakukan kelak.
Sehubungan itu beliau mahu pihak yang terbabit dengan kerja pelaksanaan projek pembinaan loji berkenaan dapat melakukan kerja penyambungan batang paip dengan cepat dan sempurna.
“Walaupun loji berkenaan masih dalam kerja-kerja pembinaan, kita berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus menghantar bekalan air bersih ke kawasan yang terjejas menggunakan lori tangki jabatan berkenaan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika melakukan lawatan ke loji rawatan air di Gelugus kelmarin.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Zamhari Awang Mahmod, wakil JKR Lawas Lang Lee Ming, Pegawai Penerangan Daerah Syarulizan Madian, Pegawai Pertanian Daerah Zulkifli Sahari dan Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Sari Awang Emran Awang Damit.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari juga mahu pihak JKR memantau rapi kerja pemasangan batang paip ke Ulu Trusan.
“Pemantauan ini penting kerana pada masa yang sama kerja pembinaan jalan dari simpang Trusan ke Briwan sedang rancak dilaksanakan.
“Kita bimbang ia boleh merosakkan batang paip berkenaan yang boleh menyebabkan kos meningkat dan kerja pemasangan tergendala,” katanya.
Menyentuh mengenai Loji Penapisan Air di Gelugus yang digunakan sekarang, beliau berkata ia mampu membekalkan sejumlah 4.8 MLD manakala Trusan 1.1 MLD, Sundar 3.75 MLD dan Merapok dan Kuala Lawas masing-masing 0.88 MLD.
March 18, 2010, Thursday
Tiada ulasan: