Hantar anak terlibat dadah kepada AADK
Ibu bapa perlu segera menghantar anak-anak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa yang relevan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) bagi mengelakkan mereka dalam keadaan kronik.
Ketua Institusi Puspen Kuching Mohamad Nor Musa berkata masalah terkini yang melibatkan penghuni-penghuni baru di Puspen amnya ialah ramai kalangan mereka dalam keadaan kronik, membawa kepada masalah mental sehingga ada yang bertindak membunuh diri.
“Yang masuk (Puspen) pada awal bulan tahun ini didapati ramai antara mereka dalam keadaan kronik.
“Setakat ini, jumlah penghuni yang disahkan menghadapi masalah mental ialah seramai lebih 30 orang, dan ramai lagi yang masih menunggu pengesahan daripada pihak perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Program Jalinan Keluarga Puspen Kuching dan Majlis Penyerahan Cek bernilai RM30,000 sumbangan Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Cawangan Sarawak di Puspen Kuching di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Pekema Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Pelawat Puspen Kuching Datu Abang Khalid Abang Marzuki dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat Puspen Kuching Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali.
Sehubungan itu, Mohamad berkata sumbangan tersebut adalah sejajar dengan Akta AADK 2004 iaitu mendapatkan dan memelihara sokongan daripada masyarakat agar usaha memerangi dadah dapat dilaksanakan dengan baik.
Sementara itu, Khalid menyarankan kepada pihak-pihak korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menyumbang dan memainkan peranan dalam membantu Puspen Kuching memerangi dadah dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
“Saya berharap golongan korporat dan NGO bersama-sama memberi perhatian dan sumbangan kepada Puspen.
“Ini akan menunjukkan bahawa masyarakat sangat memberi perhatian tanpa memandang serong terhadap golongan ini (penagih),” katanya.
March 14, 2010, Sunday
Tiada ulasan: