KRISIS AIR

LAWAS: Pembinaan loji rawatan air sementara di Gelugus di sini akan memulihkan krisis bekalan air bersih yang dihadapi lebih 30,000 penduduk yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda hampir seluruh bandar Lawas minggu lepas.


Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan akan membina sebuah loji sementara di Gelugus sementara menunggu Loji Air Trusan siap sepenuhnya kelak.

Katanya, setakat ini 50 peratus bekalan air telah berjaya dipulihkandan usaha akan diteruskan untuk menambah kapasiti yang ada melalui bantuan daripada Limbang.

“Pada masa yang sama Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dikerah memulihkan bekalan air bersih dengan kadar segera bagi memastikan rakyat di daerah ini dapat meneruskan aktiviti harian dengan lebih sempurna.

“Kita menghadapi masalah sekarang kerana mesin yang ada cuma satu sahaja berfungsi selepas beberapa peralatan lain mengalami kerosakan akibat banjir dan kita akan memastikan pihak berkenaan terus bekerja 24 jam untuk memulihkan keadaan,” ujar beliau ketika mengadakan perjumpaan dengan peniaga Cina di Kelab Chung Hua Lawas kelmarin.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ResidenLimbang Maria Hasman dan Pegawai Daerah Lawas Supaih Hamdan.

Dalam pada itu sejumlah 10,000 tan metrik beras, lima tan metrik gula dan 1,000 botol air mineral telah dihantar ke daerah Lawas bagi memastikan bekalan bahan keperluan itu mencukupi terutama selepas bandar itu dilanda banjir terburuk minggu lalu.

Tengah yang juga merupakan Menteri Kemudahan Awam menambah kerja-kerja pembersihan terus dilakukan di seluruh bandar Lawas oleh pihak Majlis Daerah melibatkan semua kakitangan majlis bersama-sama membantu.

Sementara itu katanya, kerajaan sedang menimbang cadangan membina empangan hidroelektrik di Batang Lawas yang mampu membantu mengawal masalah banjir daripada berlaku dengan serius.

Selain itu beliau memberitahu bantuan petrol turut akan disalurkan ke daerah Lawas untuk melancarkan mobiliti pasukan petugas banjir terutama dalam menghadapi perubahan angin yang

membawa hujan yang kini menuju ke negeri Sabah dan secara tidak langsung turut melibatkan daerah Lawas.

“Sebelum ini kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM20,000 untuk pembinaan hidro mini di Kampung Meragang selain RM1 juta untuk membina jeti serta jambatan di Kampung Awat-Awat.

“Justeru, kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan dalam memastikan segala perancangan yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya dapat dilaksanakan dengan lancar”.

Posted by Lawasian on Isnin, Julai 27, 2009. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Tiada ulasan: