Jawatankuasa 1Malaysia ditubuh
BANGI 17 Julai - Kerajaan memutuskan untuk menubuh satu jawatankuasa perniagaan yang dikenali 1Malaysia tidak lama lagi.
Penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui selepas hasil dialog antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan pelbagai persatuan perniagaan di negara ini semalam.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamaed berkata, penubuhan jawatankuasa 1Malaysia itu merangkumi pelbagai aspek politik dan perpaduan selain kerjasama antara bumiputera dan bukan bumiputera di dalam memajukan bidang perniagaan masing-masing.
"Jawatankuasa Perniagaan 1Malaysia itu merupakan satu platform kepada perkongsian perniagaan antara bumiputera dan bukan bumiputera selaras dengan konsep kerajaan untuk menyatukan semua bangsa di dalam perniagaan amnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Pengedar Bertauliah TM (TAD) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk ZamZamzairani Mohd. Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Sales and Services Sdn. Bhd., Ahmad Khairul Razi Ismail dan Pengarah Urusan Miraxis Sdn. Bhd., Zaidi Md. Yasin.
Menurut Mustapa, butiran lanjut mengenai penubuhan jawatankuasa itu akan diumumkan kemudian selepas perbincangan dengan ahli-ahli yang dilantik untuk menganggotai jawatankuasa itu diadakan.
Beliau memberitahu, kerajaan turut ditawarkan bantuan oleh persatuan perniagaan di negara ini bagi memantau setiap memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kerajaan.
Sebagai contoh katanya, 16 MoU yang ditandatangani semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China baru-baru ini akan dipantau oleh persatuan perniagaan itu bagi memastikan ia berjalan lancar sebagaimana dirancang.
"Beberapa persatuan perniagaan telah menawarkan khidmat untuk mengkaji dan melaporkan perkembangan MoU itu kepada kerajaan September ini," katanya.
Tindakan itu, kata Mustapa, merupakan langkah paling baik bagi memastikan setiap MoU yang ditandatangani itu berjalan lancar dan bukan semata-mata perjanjian di atas kertas sahaja.
Tiada ulasan: